Program Share Rezeki tahun ini, Putra Amaris turut bekerjasama dengan penyampai radio, Tyzo Xander menerusi Pertubuhan Kasih TYZO.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Putra Amaris mengakui merasai kepayahan hidup masyarat sehingga menjentik hatinya untuk berkongsi rezeki bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Lelaki berusia 38 tahun itu percaya setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allahbukan hanya usaha diri sendiri sebaliknya ia juga berkat orang ramai yang banyak memberi sokongan dalam perniagaan serta kerjaya seni.

Justeru mengambil iktibar dari banyak kisah masyarakat, sejak tahun 2020, Amaris mula menggerakkan program dikenali Share Rezeki yang juga secara tidak langsung menjadi ibadah infak sempena menyambut keberkatan bulan Ramadan.

“Kita banyak mendengar kisah orang hidup susah menerusi laporan media atau yang tular di media sosial. Dari situ saya mula terfikir untuk lakukan sesuatu agar rezeki yang dimiliki ini juga dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

“Sekurang-kurangnya sedikit pemberian ini juga dapat memberi senyuman buat mereka yang memerlukan. Bahkan mereka juga sama-sama dapat merasa nikmat Ramadan seperti kita yang berkemampuan.

“Tahun ini saya teruskan lagi program Share Rezeki yang pernah dilakukan empat tahun dahulu,” katanya pada majlis pelancaran program Share Rezeki itu semalam.

Putra Amaris masih aktif berlakon.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Amaris bersama pasukan pengurusan, Rarekynd Malaysia mula mengenal pasti golongan yang memerlukan termasuk rumah-rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.

Malah turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat ternama untuk sama-sama berkongsi menghulurkan bantuan bagi menggerakkan misi ini.

Bukan itu sahaja beliau turut mengajak rakan-rakan artis yang mahu melakukan amal kebajikan.

“Menariknya tahun ini saya turut mendapat kerjasama beberapa syarikat bumiputera. Saya juga membuka peluang kepada rakan artis sekiranya mereka mahu melakukan kebajikan sempena Ramadan.

“Saya percaya ramai golongan yang berkemampuan mahu menghulurkan bantuan namun tidak dapat berbuat demikian atas beberapa faktor kekangan. Jadi program Share Rezeki ini boleh menjadi orang tengah untuk mereka,” jelasnya.

Pelancaran Share Rezeki tahun ini diadakan di MyEvent Production Studio, Shah Alam dan ia juga disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Rarekynd Malaysia.

Program yang digerakkan oleh Rarekynd Malaysia ini turut mendapat kerjasama pihak lain termasuk adalah Minyak Bidara Paklong Man sebagai penaja utama, Adabi, Hardamawt dan Westplate Factory.

Tambah Amaris, kejayaan sebelum ini juga telah mendorongnya menjadikan program sebegini sebagai acara tahunan atau mungkin boleh dilaksanakan sepanjang tahun.

Istimewa juga dalam program tahun ini Amaris turut bekerjasama dengan penyampai radio, Tyzo Xander menerusi Pertubuhan Kasih TYZO.

“Siapa tahu program ini akan dijalan sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada bulan Ramadan sahaja.

“Rezeki dapat bekerjasama dengan Tyzo. Memang hasrat dalam hati nak bekerjasama dan dengan izin Allah ia dipermudahkan. Kami berhubung dan dia juga mahu melakukan program sama.

“Bermula daripada sekadar borak kosong, kemudian pertemua di kedai kopi akhirnya kami setuju untuk sama-sama menggerakkan progam ini,” ujarnya.

Pelacaran Share Rezeki 2024 diadakan di MyEvent Production Studio, Shah Alam semalam.

Berkongsi lanjut, menurut Amaris, setiap perancangan yang dilakukan pasti akan ada cabaran.

Dalam masa sama, beliau juga berdepan dugaan terbesar kehilangan ibu tercinta iaitu Allahyarham Hajah Hasnah Sahli yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.

Namun setiap dugaan dan kisah sedih yang dilalui tidak pernah mematahkan semangat Amaris untuk meneruskan program kali ini.

“Cabaran datang bersilih ganti. Saya juga baru kehilangan ibu baru-baru ini. Bagaimanapun saya tidak mahu kesedihan yang dilalui menjadi penghalang untuk melaksanakan program ini.

“Semoga dengan rezeki yang dikongsi ini juga dapat memberi pahala buat arwah ibu dan ayah. Doa-doa mereka ini semua akan menjadi bekalan buat kita semua juga,” jelasnya.

Sementara itu bercakap tentang perjalanan kerjaya seni, Amaris tidak pernah meletakkan kata nokhtah terhadap dunia lakonan meskipun kini semakin sibuk dengan perniagaan.

“Saya masih berlakon cuma tidak aktif seperti dahulu kerana tumpuan sekarang lebih kepada perniagaan.

“Rasa cinta dan rindu terhadap dunia lakonan tidak pernah hilang. Jika ada tawaran yang sesuai pastinya saya sedia untuk kembali ke set penggambaran,” luahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast