KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalinkan kerjasama dengan Usanita Sdn Bhd (USANITA) bagi memperkasakan ekonomi dalam kalangan usahawan wanita dan pelajar di negara ini.
Bagi merealisasikan matlamat itu yang turut melibatkan EWA Malaysia, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM akan bertindak sebagai rangka kerja am bagi aktiviti-aktiviti dan program yang bakal dijalankan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) Profesor Datuk Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin meluahkan rasa gembira kerana dapat menjalinkan kerjasama bersama USANITA.
“Saya berharap usahasama ini akan membangunkan kemahiran pelajar ke arah yang lebih berkualiti tinggi dan mempunyai minda keusahawanan kelas pertama seterusnya menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran mereka khususnya dalam bidang keusahawanan.
“Bila kita bekerjasama dengan USANITA ini, kita harap minat para pelajar dan usahawan wanita EWA Malaysia akan terpupuk dan mereka akan lebih terdedah kepada peluang kerjaya dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) diwakili Dr. Norazah dan YBhg. Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof. Dr. Aini Aman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, pihaknya berhasrat untuk memperkasakan kebolehpasaran wanita dan pelajar dalam sektor keusahawan dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam industri.
Katanya, program kolaborasi antara USANITA, UKM dan EWA Malaysia ini akan tertumpu pada pembangunan dari sudut kemahiran, kebolehan, kreativiti serta inovasi.
“Ia merupakan perkara yang terkandung dalam aspek modal insan di samping aspek daya saing yang dilihat penting dalam kejayaan usahawan,” katanya.
Tambahnya lagi, kolaborasi diharap dapat diperluaskan dan memanfaatkan lebih ramai orang terutamanya pelajar- pelajar UKM dan usahawan- usahawan yang menyertai EWA
“Rakan- rakan strategik USANITA juga terdiri dalam kalangan selebriti seperti Awal Ashaari akan sentiasa bersama USANITA untuk memberi buah pandangan yang terkini untuk kebaikan bersama kedua pihak.
“Jadi kita harap program- program kita secara tidak langsung akan memberi dokongan kepada mereka dalam melonjakkan jualan, perniagaan, dan cetusan idea yang kreatif dan inovatif dalam industri keusahawanan,” katanya. – MalaysiaGazette