Sebanyak 100 kg sampah dipungut di pantai Teluk Bahang menerusi program anjuran USM dengan kerjasama MBPP.

GEORGE TOWN – Hanya dalam tempoh 45 minit kira-kira 100 kilogram sampah dipungut menerusi Program Pembersihan Pantai dan Sembang Santai Pelajar di Teluk Bahang di sini, semalam.

Antara paling banyak dipungut sekitar lingkungan satu kilometer kawasan pantai berkenaan adalah botol plastik, kaca, penyedut minuman serta bekas plastik.

Pengerusi program, Mohd Azri Awang Kechik berkata, aktiviti anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) itu membabitkan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Kebanyakan sampah plastik yang dipungut.

Katanya, seramai 70 peserta mengambil bahagian iaitu terdiri daripada dalam kalangan penuntut Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) USM, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), kakitangan MBPP dan belia.

“Matlamat menerusi program ini sudah tentu bagi memberi kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar terutama di lokasi tumpuan pengunjung iaitu di kawasan pantai.

“Selain dapat bertukar pandangan dan mengeratkan silaturahim, ia juga dapat memperkasakan budaya cintai alam sekitar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hadir sama Dekan RPJJ Profesor Madya Dr Zulnaidi Yaacob dan Ahli Majlis MBPP, Ooi Mei Mei yang juga penuntut tahun kedua dalam bidang pengajian Kesusasteraan di USM.

Seramai 70 peserta terlibat dalam program tersebut.

Mengulas lanjut Mohd Azri berkata, kesemua sampah berkenaan kemudian diangkut oleh jentera MBPP sebelum dibuang ke tapak pelupusan sampah.

“Melihat kepada impak dan maklum balas positif, kami merancang mahu meneruskan usaha ini di kawasan pantai lain pula nanti,” katanya. – MalaysiaGazette