Ibu bapa memilih kasut sekolah untuk anak mereka bagi persiapan memulakan sesi persekolahan yang akan dibuka pada hari Isnin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pakaian Hari-Hari, Sungai Besi. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Persiapan anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar apatah lagi yang mempunyai ramai anak.

Apatah lagi, pada tahun ini, sesi persekolahan bermula selang beberapa hari sebelum bulan Ramadan.

Mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah,  suri rumah, Fifi Ema Maryam Jamari,46, berkata, beliau berbelanja dengan lebih berhemah untuk elak pembaziran.

Fifi Ema Maryam Jamari

Dia hanya membeli barang persiapan sekolah anak-anak yang benar-benar perlu dan selebihnya seperti baju sekolah, beg dan kasut digunakan semula selagi tidak rosak.

Tambah beliau, bantuan kerajaan kepada anak-anak sebanyak RM150 seorang dimanfaatkannya untuk kegunaan membeli buku-buku sekolah.

“Sebagai ibu bapa memang kita kena sediakan keperluan anak-anak dan perbelanjaan mereka memang berterusan dengan bulan puasa, lepas tu Hari Raya. Alhamdulillah dengan adanya bantuan kerajaan setiap orang RM150 itulah saya gunakan untuk buku sekolah mereka

“Tinggal baju sekolah, dan kasut mereka yang kami guna wang sendiri.

“Anak yang masuk darjah 1 yang sahaja yang saya belikan lengkap sebab yang lain-lain mereka boleh gunakan semula kerana sebelum mereka pakai baju sukan, jadi baju-baju sekolah masih baru dan boleh pakai lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ibu bapa memilih kasut sekolah untuk anak mereka bagi persiapan sesi persekolahan yang akan bermula esok ketika tinjauan Malaysia Gazette di Pusat Pakaian Hari-Hari, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 10 MAC 2024.

Fifi berkata, dia sentiasa mendidik anak-anaknya supaya bersederhana terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Harga barang keperluan memang meningkat, kos sara hidup pun meningkat serba-serbi naik sekarang. Kita sebagai ibu bapa perlu ajar anak-anak supaya bersederhana, gunakan balik apa yang ada,” tambahnya.

Seorang lagi Suri rumah, Nurbaizura Mohd Multazir, 41 berkata, dia membuat perancangan kewangan tiga bulan awal untuk perbelanjaan persiapan sekolah lima orang anaknya.

Nurbaizura Mohd Multazir.

Ia kerana, jangkanya perbelanjaan tahun ini agak besar perlu memastikan barang keperluan seharian cukup pada bulan Ramadan.

“Perancangan kewangan agak mengejut juga sebab semua serentak, anak saya lima orang. Seorang baru darjah satu dan seorang lagi enam tahun.

“Tiga bulan awal dah mula kumpul rancang kumpul sikit-sikit sebab serentak dengan bulan puasa agak perit sikit,” katanya.

Katanya lagi, sebagai ibu bapa merancang kewangan merupakan cabaran penting apatah lagi Hari Raya bakal menjelang lebih kurang sebulan saja lagi.

“Dengan harga barang, taraf kehidupan yang tak macam dulu, terpaksalah berjimat cermat

“Hari raya pun bersederhana sahaja banyak lagi perbelanjaan perlu diutamakan tidak boleh boros-boros,” katanya.

Dalam masa yang sama, Zawawi Matsalleh,51, berkata, dia dan isteri terpaksa menggunakan wang simpanan untuk persiapan sekolah anak-anak meskipun sudah merancang awal.

Zawawi Matsalleh

Sehubungan itu katanya, paling penting untuk mempunyai wang simpanan dalam keadaan yang memerlukan demi memastikan persiapan sekolah anak-anak lengkap.

Menurut beliau, keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat kini mendesak pelbagai golongan apatah lagi yang kurang berkemampuan.

“Perbelanjaan persediaan buka sekolah memang tinggi sebab anak ramai, ada yang nak masuk asrama kemudian Ramadan.

“Kalau tidak ada simpanan atau tidak buat persediaan awal memang akan hadapi masalah kewangan, saya tak dapat bayangkan macam manalah orang yang berpendapatan rendah, mesti agak terbeban dengan keadaan sekarang,” katanya.

Sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan A sudah bermula hari ini, manakala Kumpulan B,esok.

Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Ramadan pada Selasa ini. – MalaysiaGazette