Noh Omar

KUALA SELANGOR – Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar tidak akan membuat “comeback” dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Karang susulan keahlian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi bakal terlucut.

Sebaliknya Noh tidak akan berebut menjadi calon atas tiket Perikatan Nasional (PN) meskipun diberi laluan untuk mempertahankan kerusi Bersatu itu.

“Prinsip saya, saya tak kejar jawatan, kalau tengok sejarah saya, walaupun saya dulu digugurkan daripada Menteri Kabinet, saya bekerja seperti biasa, masuk balik (kerajaan) jadi menteri.

“Saya ingatkan kawan-kawan (PN), dalam politik, jangan kejar jawatan, kalau kejar jawatan, akhirnya jawatan itu akan tinggalkan kita.

“Saya bekerja ikhlas demi untuk agama, bangsa dan agama,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Zulkafperi  menjadi Ahli Parlimen PN yang keenam yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 24 Januari lalu.

Perkembangan itu menyaksikan kini seramai enam Ahli Parlimen daripada PN berbuat demikian, semuanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat PN kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri.

Beliau berbuat demikian selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) melakukan perkara sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast