BERN – Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran sedang dijalankan di Pergunungan Alps Switzerland selepas enam pemain ski hilang.
Mereka berenam bertolak dari Zermatt ke Gunung Matterhorn – gunung berbentuk piramid yang terkenal pada hari Sabtu untuk bermain di sepanjang sempadan Switzerland-Itali
Ketika tiba berhampiran Gunung Tete Blanche setinggi 3,706 meter mereka dilaporkan hilang.
Polis tempatan berkata, semua pasukan penyelamat yang ada di kedua-dua belah laluan telah dimaklumkan, tetapi cuaca buruk menghalang operasi.
Terdapat angin kencang di Alps selama beberapa hari lalu dan salji lebat sepanjang 24 jam lalu.
Saas-Fee, sebuah resort musim sejuk yang berdekatan dengan Zermatt, kini terputus hubungan.
Ketua Perkhidmatan Penyelamat Udara Zermatt, Anjan Truffer berkata, cuaca pada masa ini sangat buruk dan sebarang operasi penerbangan bukan pilihan yang ada.
Ia kerana angin bertiup sangat kuat, salji lebat dan risiko runtuhan salji yang tinggi, dan sifar penglihatan.
Truffer percaya keenam-enam mereka, yang identiti dan kewarganegaraannya tidak didedahkan berdepan dengan cuaca buruk dan bukan berdepan dengan runtuhan salji, kerana mereka hilang di bahagian laluan Zermatt yang mana risiko runtuhan salji adalah rendah .
Pelancong ski biasanya mengikuti laluan alpine yang tidak disediakan, dan harus dilengkapi dengan pencari lokasi dan penyodok longsor.
Isyarat terakhir dari kumpulan itu dirakam semalaman.
Laluan dari Zermatt ke Arolla adalah sebahagian daripada “Laluan Haute” sepanjang 120 kilometer (75 batu) yang terkenal dari Zermatt ke Chamonix.
Ia sangat popular, tetapi hanya sesuai untuk pemain ski yang sangat berpengalaman.
Perkhidmatan menyelamat mengatakan terdapat peluang besar pemain ski yang hilang itu dapat bertahan, walaupun suhu -16C (3.2F) dan angin sehingga 80km/j (50mph), jika mereka berjaya menggali diri ke dalam lubang salji. – Agensi