Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM – Pengambilan pelajar tingkatan satu dan empat dalam kalangan golongan berpendapatan rendah atau B40 ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi 2024 adalah melebihi 80 peratus.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA menerusi Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) menawarkan 7,424 tempat kepada pelajar di seluruh negara dan daripada jumlah itu, lebih 6,000 tawaran diberikan kepada pelajar B40.

“Ini menyaksikan pengambilan kuota B40 bagi pelajar MRSM sesi 2024 menunjukkan peningkatan  memberangsangkan daripada dasar yang ditetapkan iaitu 60 peratus kuota harus diisi pelajar dalam kumpulan B40.

“Tawaran melebihi peratusan asal ini merupakan usaha murni kita mengutamakan mereka yang berpendapatan rendah bagi mendapat kemudahan pembelajaran dan pengajaran terbaik menerusi sistem pendidikan MRSM,” katanya dalam kenyataan susulan lawatan beliau ke MRSM Kuala Kubu Bharu dekat sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, statistik itu membuktikan MARA tidak mengabaikan hak golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan pendidikan di institusi berkenaan seperti dakwaan pihak tertentu.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mengingatkan keluarga pelajar yang mengalami kesukaran kewangan untuk tidak sewenang-wenangnya menolak tawaran diberikan MARA.

Ini kerana MARA menyediakan Program Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) bagi memberikan bantuan kewangan dan kelengkapan persekolahan kepada mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, katanya.

“Laporan perkembangan terkini berhubung penerimaan tawaran oleh pelajar B40 tersebut adalah sebanyak 76 peratus,” katanya. – Bernama