Foto Facebook Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Berbekal pengalaman 28 tahun dalam industri, penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya memukau lebih 10,000 penonton menerusi konsert solonya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam kelmarin.

Dikenali Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza itu, ia memaparkan perjalanan karier seninya sepanjang 28 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Sepanjang konsert selama tiga jam itu, Siti Nurhaliza atau nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin, 45, membuktikan usia bukan penghalang apabila peminat setianya dibuat menerusi rangkaian 36 lagu hits termasuk medley dalam konsert durasi tiga jam.

Malah, Siti menampilkan vokalnya yang mantap serta persembahan yang bertenaga dengan iringan barisan pemuzik yang diketuai Aubrey Suwito pada malam itu.

Foto Facebook Siti Nurhaliza.

Lebih bermakna, konsert anjuran Yayasan Nurjiwa iaitu pertubuhan amal diasaskannya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa juga untuk membantu rakyat Palestin.

Sebahagian kutipan jualan tiket konsert itu juga akan disalurkan ke Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin yang mempunyai seramai 100 pelajar dan 10 guru serta ditubuhkan yayasan, empat tahun lalu.

Antara artis yang hadir memberi sokongan pada konsert ialah penyanyi Jaclyn Victor, Aisha Retno, Hael Husaini, Syamel, Ernie Zakri dan komposer Hafiz Hamidun.

Kali terakhir Siti mengadakan konsert di Axiata Arena menerusi Konsert Siti Nurhaliza On Tour pada 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast