KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk mengurangkan penggunaan pekerja dan pendatang asing yang tidak berkemahiran melalui penambahbaikan dari segi dasar yang ada.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah ini bukan sahaja melibatkan dasar tetapi kerjasama daripada industri-industri.
Ini kerana, setiap kali pentadbiran sebelum ini mahu mengurangkan jumlah pekerja asing, cadangan tersebut akan mendapat bantahan.
“Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada bulan April akan datang bakal membincangkan mekanisme khusus untuk mengurangkan jumlah pekerja asing secara berkala dan RMK13 (Rancangan Malaysia ke-13) yang akan dibentangkan pada tahun hadapan akan meletakkan sasaran pengurangan jumlah pekerja asing yang lebih drastik dan ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang mengutarakan persoalan sama ada kerajaan akan memantau isu ‘Ali Bangla’ yang kini dilihat memonopoli sektor pekerjaan termasuk bergelar pengusaha.
Mohd Shahar berkata, rakyat negara ini bukan sahaja berdepan isu ‘ali baba’ dalam perniagaan tetapi terpaksa bersaing dengan fenomena ‘Ali Bangla’.
Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) itu menambah, warganegara perlu bersaing dengan kumpulan bukan warganegara, yang dilihat cuba memonopoli sektor pekerjaan termasuk menjadi pengusaha.
“Adakah kementerian menteri sedar bahawasanya sekarang ini isunya bukan lagi ali baba tetapi ‘Ali Bangla’ di mana kita bukan lagi bersaing antara sesama masyarakat Malaysia, tetapi kita bersaing dengan mereka yang bukan warganegara.
“Dahulunya mereka berkunjung hanya sebagai buruh kasar tetapi sekarang ini mereka telah berusaha menjadi pengusaha. Bagaimana menteri melihat dari segi struktur ekonomi tadi,” soal Mohd Shahar. – MalaysiaGazette