KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,345 kes aduan melalui aplikasi MYJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) berjaya diselesaikan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
“Sebanyak 2,345 aduan telah diselesaikan oleh agensi KKR dengan 2,193 atau 93.52 peratus selesai dalam tempoh satu hingga 30 hari.
“Manakala 828 aduan dalam proses tindakan,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.
Kejayaan itu dicatat dari 1 Ogos tahun lalu sehingga 29 Februari tahun ini.
Dalam pada itu, Alexander berkata, sebanyak 74.09 peratus atau 9,072 aduan daripada 12,245 aduan yang diterima melalui aplikasi MYJalan merupakan aduan yang di luar bidang kuasa kementerian itu.
Menurutnya, sejumlah 9,072 aduan itu melibatkan Jalan Bandaran (PBT), Jalan Kampung (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jalan Pertanian (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan lain-lain.
“Daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima, hanya 25.91 peratus atau 3,173 aduan membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette