Orang ramai membeli juadah berbuka puasa sempena bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadan TTDI, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan Operasi Ramadan 2024 secara serentak di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negara.

Menurut KKM, aktiviti operasi ini melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan untuk memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual sentiasa terjamin dengan menjalankan aktiviti pemantauan sebelum dan sepanjang bulan Ramadan.

“Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing,” kata KKM dalam satu kenyataan hari ini.

KKM juga berkata, aktiviti pemeriksaan yang dijalankan di sepanjang rantaian makanan meliputi peringkat sumber bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang telah dilesenkan PBT telah bermula sebelum Ramadan lagi.

“Ini diteruskan lagi dengan aktiviti pemeriksaan di premis-premis tumpuan seperti hotel-hotel yang menyediakan buffet Ramadan, premis-premis pembekal bahan mentah dan juga premis-premis penyediaan ais.

“Kerjasama dengan PBT juga dikukuhkan dengan penganjuran taklimat-taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar-bazar ramadan, memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendalian makanan,” katanya.

Selain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli ‘Perhati dan Pilih’ serta amalkan ‘Lihat Hidu Rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

“Para peniaga pula dinasihatkan supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi terlalu awal daripada waktu untuk dijual,” katanya.

Katanya lagi, melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast