KUALA LUMPUR – Ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab memantau dan mengawasi aktiviti anak-anak mereka dalam talian bagi memastikan had umur pemilikan akaun media sosial terhad kepada 13 tahun ke atas dipatuhi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan penyedia media sosial mempunyai had umur pengguna akaun yang mana hanya mereka yang berusia 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan membuka akaun.
“Berdasarkan carian, memang sama ada X, Facebook, Instagram, WhatsApp dan TikTok semua meletakkan had umur minimum 13 tahun kecuali Telegram 16 tahun.
“Bagi memastikan syarat umur ini dipatuhi, ibu bapa ataupun penjaga bertanggungjawab memantau dan mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
“Ini kerana kanak-kanak masih boleh mendapat manfaat kandungan positif dengan melayari media sosial bersama-sama ibu bapa atau penjaga,” katanya semasa sesi jawapan menteri dalam sidang Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen (Kuala Krau-PN), Kamal Ashaari meminta Menteri Komunikasi menyatakan metode pelaksanaan dilakukan kerajaan agar anak-anak bawah 15 tahun diharamkan memiliki akaun sosial media seperti TikTok, X dan Facebook agar mereka tidak mengikuti trend tidak baik di sosial media.
Menurut Fahmi, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil serius peranan dalam keibubapaan serta menerokai kandungan serta platform alternatif yang terdapat dalam talian.
“Dalam pengamatan saya sendiri sebagai ahli Parlimen Lembah Pantai, apabila saya bertemu dengan pelajar-pelajar dalam program Back to School dan sebagainya.
“Saya bertanya berapa ramai di sini anak-anak yang ada akaun TikTok, semua yang hadir itu Darjah 1 hingga Darjah 6, hampir 90 peratus anak-anak ini ada akaun TikTok.
“Walaupun ada garis panduan seperti ini, tapi ia tidak memadai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan Malaysia iaitu Celcom-Digi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia dan Time untuk menyediakan perkhidmatan alatan perisian yang dikenali sebagai Parental Control Tools.
“Ia membolehkan ibu bapa atau penjaga memantau, menapis, menghadkan dan menyekat kandungan untuk melihat aktiviti anak-anak dalam talian.
“Ibu bapa atau penjaga juga boleh menggunakan perkhidmatan perisian lain bagi tujuan yang sama,” katanya.
Katanya lagi, bagi menangani risiko dan ancaman terhadap kanak-kanak, sama ada disebabkan orang lain atau tingkah laku mereka sendiri, pelaksanaan program berbentuk pendidikan dan kesedaran tentang keselamatan internet terus dipertingkat.
“Antaranya Klik Dengan Bijak dan Sukarelawan ICT Malaysia di sekolah-sekolah dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agensi lain.
“Kerajaan juga membangunkan modul pendidikan berkenaan perlindungan kanak-kanak dalam talian untuk ibu bapa, penjaga dan kanak-kanak.
“Antaranya modul pendidikan keselamatan keluarga dan anak (PEKA), module smart start 2.0 pra perkahwinan dan program ekspresi anak remaja lestari (Pearl),” katanya.
Tambahnya, Jemaah Menteri pada bulan lalu telah bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa kerja yang akan meneliti cadangan penggubalan Rang Undang-Undang baharu berkaitan dengan kemudaratan jenayah dalam talian termasuk aspek keselamatan dalam talian.
“Kita akan ada mesyuarat selepas ini untuk meneliti beberapa aspek dan sekiranya perlu, apa-apa akta dipinda dan tindakan diambil MCMC yang bersifat segera, ini yang akan diusahakan oleh pihak kementerian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette