KUALA LUMPUR – Isu berkaitan kawalan dan pemantauan penggunaan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta inisiatif payung Rahmah menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat melalui laman rasmi Parlimen, Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) dalam sesi pertanyaan-pertanyaaan bagi jawapan lisan meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan langkah mengawal dan memantau penggunaan Al supaya ia dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) pula akan bertanya kepada Menteri Komunikasi mengenai kaedah yang digunakan kementerian itu bagi mengharamkan anak-anak bawah 15 tahun daripada memiliki akaun media sosial sama ada TikTok, X, dan Facebook agar mereka tidak mengikuti trend tidak baik dalam media sosial.
Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup supaya menyatakan status terkini konsep Rahmah yang diperkenalkan sejak awal 2023 serta terbukti keberkesanannya dan diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.
Usai sesi itu, persidangan akan diteruskan dengan menyambung semula penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja daripada kementerian antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Komunikasi serta Kementerian Pendidikan.
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 ini berlangsung selama 19 hari hingga 27 Mac ini dan sebanyak 160 Ahli Parlimen telah selesai membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat bermula 27 Feb hingga 7 Mac lepas. – BERNAMA