KUALA LUMPUR – Daerah Papar di Sabah diisytihar mengalami bencana kemarau bermula hari ini.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Papar Mohd Fuad Abdullah.
Katanya, pengisytiharan dibuat berdasarkan laporan dan maklumat lapangan yang diterima jawatankuasa tersebut.
“Berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan telah berlaku bencana seperti ketetapan berikut,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, pengisytiharan berkenaan merupakan langkah menyeluruh untuk membantu agensi yang berkenaan dalam pengurusan agihan air.
Bagaimanapun beliau menyeru supaya masyarakat Sabah khususnya di Papar supaya tidak panik dengan situasi semasa itu.
“Dalam urusan kerajaan, ada prosedur-prosedur tertentu yang mereka perlu patuhi untuk membantu jabatan-jabatan lain. Cuma, saya ingin ambil kesempatan untuk masyarakat tidak menjadi panik dengan pengisytiharan tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya lagi, usaha pembenihan awan kini sedang dalam proses penyelarasan dengan pihak yang berkaitan.
Sebelum ini dilaporkan, kerajaan negeri telah bersetuju untuk melakukan pembenihan awan bagi mengatasi musim kemarau yang dihadapi di Sabah ketika ini.-MalaysiaGazette