Pemandu dipercayai melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak KPDN.

BUTTERWORTH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas sejumlah 2,800 liter diesel bersubsidi yang diseleweng dalam serbuan Ops Tiris 3.0 di Bagan Lalang di sini, semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, bertindak atas pemantauan sepasukan anggota penguat kuasa melihat sebuah lori dalam keadaan mencurigakan yang ditinggalkan di tepi jalan bersebelah sebuah kedai kopi di sini.

Bagaimanapun, menyedari kehadiran pihak berkuasa pemandu lori berkenaan yang dipercayai tidak memiliki dokumen serta permit kebenaran membawa muatan minyak diesel telah melarikan diri.

Lori yang ditutup dengan kain kanvas itu ditinggalkan di tepi jalan berdekatan sebuah kedai kopi.

“Susulan itu, kita memeriksa lori jenama Ford yang ditutup dengan kain kanvas sebelum menemui enam buah tangki berkapasiti 1,000 liter yang mana mengandunginya 2,800 liter diesel.

“Turut di turut di bahagian belakang lori tersebut adalah dua set motor pump berserta hos paip. Nilai keseluruhan rampas termasuk diesel RM27,620.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti rantaian pengedaran diesel termasuk sumber minyak itu diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Jegan berkata, pihaknya sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Pulau Pinang bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

Pemeriksaan membawa kepada rampasan 2,800 liter diesel.

“KPDN Pulau Pinang akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan.

“Kita juga tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi diesel yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” katanya. – MalaysiaGazette