GEORGE TOWN – Tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan dalam kes kematian lelaki Singapura yang hilang empat hari sebelum mayatnya ditemui dalam cerun di Jalan Paya Terubong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa mendapati dia meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan leher disebabkan impak kemalangan.
“Selain itu, kita juga telah melakukan semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan tiada unsur jenayah dalam insiden tersebut.
“Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan misteri kehilangan seorang lelaki warga Singapura sejak empat hari lalu terjawab selepas dia ditemui mati di cerun bersemak di Jalan Paya Terubong menghala Relau di sini, akibat kemalangan.
Mayat lelaki berusia 29 tahun itu ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit pada jam 12.40 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette