Mayat lelaki Singapura ditemui dalam cerun (gambar bawah) manakala kereta Proton Persona milik kekasihnya remuk teruk akibat terjunam dalam cerun di Jalan Paya Terubong menghala Relau, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Misteri kehilangan seorang lelaki warga Singapura sejak empat hari lalu terjawab hari ini, selepas dia ditemui mati di cerun bersemak di Jalan Paya Terubong menghala Relau di sini, akibat kemalangan.

Mayat lelaki berusia 29 tahun itu ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit pada jam 12.40 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut ahli keluarga yang ingin dikenali sebagai Chew, mangsa memandu kereta jenis Proton Persona milik kekasihnya untuk keluar minum bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang pada 9 Mac lalu.

Ibu mangsa (baju biru) meraung di lokasi kejadian sebaik pihak bomba mengangkat mayat anaknya dari cerun tersebut.

“Dia hubungi kami kali terakhir pada jam 1 pagi (9 Mac) dan memaklumkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Alor Vista, Relau, dekat sini.

“Bagaimanapun, dia gagal dijejaki dan dihubungi sebelum kami mendapat panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan penemuan mayatnya tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba, Muzzamer Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan khas mengangkat mayat pada jam 1 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan BBP Paya Terubong bergegas ke lokasi.

Muzzamer.

“Sebaik tiba kita dapati terdapat seorang lelaki sudah meninggal dunia dipercayai akibat kereta dipandunya terlibat kemalangan sebelum terjunam ke dalam cerun setinggi 45 meter.

“Kita temui mangsa empat meter dari kereta dipandunya dan tidak menolak kemungkinan dia tercampak keluar dari kenderaan itu impak daripada kemalangan tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

“Susulan itu, kita mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pihak polis kemudian menghantar mayat mangsa yang juga ejen insurans itu ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast