Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Seorang wanita Rohingya dan anak cedera selepas disimbah petrol dan dibakar oleh dua suspek lelaki dalam kejadian 9 Mac lalu di Kampung Cheras Baru, Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihak polis menerima laporan kejadian itu daripada suami mangsa sekitar jam 1.34 pagi 10 Mac lalu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku lebih kurang 10.30 malam ketika mangsa pergi ke padang permainan untuk mengambil anak lelakinya yang berumur dua tahun di situ sebelum terserempak dengan dua lelaki warga asing yang dikatakan dalam keadaan mabuk.

“Salah seorang suspek telah menyuruh mangsa membelikan petrol dan diisi ke dalam botol. Setelah mangsa menyerahkan botol yang berisi petrol kepada suspek, kedua-dua suspek bertindak menyimbah petrol serta menyalakan api kepada mangsa,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Akibat kejadian itu mangsa terbakar 30 peratus di bahagian muka dan badan manakala anaknya cedera ringan.

Katanya lagi, kedua-dua mangsa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan masih mendapatkan rawatan di hospital dan dilaporkan stabil.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan kepada orang lain dengan menggunakan senjata dan lain-lain yang jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Zam berkata, polis sudah mengenal pasti identiti kedua-dua suspek yang merupakan warga asing berusia 26 hingga 35 tahun dan usaha memburu mereka sedang dijalankan.

Saksi kejadian ini diminta tampil bagi membantu polis dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette