KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membahaskan pendidikan pelbagai aliran tidak berniat untuk mencabar Perlembagaan, jauh sekali tidak menghormati keputusan mahkamah.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, pendidikan vernakular ternyata tersasar jauh daripada konteks memupuk perpaduan dan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Sebaliknya beliau berkata, cadangan pendidikan satu aliran dilihat lebih praktikal untuk mengukuhkan integrasi sosial, bermula dari peringkat pembelajaran awal kanak-kanak.

“Sistem pendidikan tidak akan membezakan antara pelajar berdasarkan aliran atau latar belakang mereka.

“Seterusnya ia dapat mengurangkan perasaan perbezaan dan meningkatkan persefahaman antara pelbagai kelompok masyarakat.

“Penyatuan sistem pendidikan negara penting kerana ia dapat membantu merapatkan jurang perbezaan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, Setiusaha Agung MCA, Saw Yee Fung membidas cadangan Dr Muhamad Akmal sambil menyifatkan tindakannya itu bererti mencabar Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, media melaporkan, Dr Muhamad Akmal berkata, sudah tiba masanya Malaysia untuk menoktahkan pemisahan dan pengasingan dalam sistem pendidikan iaitu pelbagai aliran.

Katanya, kerajaan perlu menilai semula ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan, merangkumi keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dalam pada itu, Fariz juga berkata, gesaan Dr Muhamad Akmal lebih kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan bertamadun.

“Dengan menekankan pendidikan satu aliran, kita dapat mengurangkan potensi perpecahan dalam masyarakat khususnya dalam konteks perbezaan budaya, agama dan kepercayaan,” katanya.

Menurut Fariz, dengan penerapan nilai-nilai kesederhanaan, keadilan dan kesaksamaan, ia mampu melahirkan generasi muda yang lebih terbuka serta boleh menerima perbezaan.

“Perbezaan itu dilihat sebagai kekayaan yang mengukuhkan kekuatan kolektif.

“Pendekatan Dr. Muhamad Akmal selaras dengan aspirasi untuk mengukuhkan perpaduan dan kesaksamaan dalam masyarakat,” katanya.

Katanya lagi, menerusi sistem satu aliran, setiap individu diberi peluang yang sama untuk mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau kepercayaan mereka.

“Ini penting untuk memupuk negara yang inklusif dan progresif, di mana setiap rakyat merasa dihargai dan diiktiraf atas sumbangan dan potensi individu mereka.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita menyokong Yang Berhormat Dr. Akmal dalam usahanya membawa perubahan positif dalam sistem pendidikan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast