Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas Peluncuran Penyelesaian e-Farmasi TM di MMU, Cyberjaya. Foto FAREEZ FADZIL, 14 MAC 2024.

CYBERJAYA – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya disaran supaya memiliki sikap terbuka dengan bersangka baik terhadap usaha dan ikhtiar kerajaan Madani dalam membantu golongan Bumiputera termasuk syarikat-syarikat milik Bumiputera.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bantuan dan sokongan yang ingin diberikan kerajaan bukan hanya berpandukan acuan yang digunapakai sebelum ini, sebaliknya mengambil kira beberapa usaha tidak mencapai objektif.

“Maka mengambil kira pelbagai ikhtiar sebelum ini dan realiti ekonomi pada hari ini, lebih terbuka kepada kesan dunia.

“Maka apa yang diumum Perdana Menteri pada 2 Mac lalu adalah iktiar-ikhtiar baharu yang diharap akan dapat lebih banyak membantu para peniaga dan syarikat Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran E-Farmasi: Penyelesaian Digital untuk Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Seterusnya di Universiti Mutimedia, di sini, hari ini.

Beliau ditanya wartawan berhubung kenyataan Aminuddin apabila mendakwa, perbincangan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, baru-baru ini hanya sebagai mainan politik.

Aminuddin merujuk perkara itu susulan dakwaan 60 syarikat Bumiputera dalam bidang kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) tidak dipanggil untuk mendapatkan kontrak bagi pemasangan sistem solar di 300 stesen minyak milik Petronas.

Menurut beliau, kegagalan bumiputera dalam ekonomi bukan disebabkan Melayu tidak pandai atau malas tetapi, kerajaan sendiri tidak memberikan sokongan.

Malah katanya, ia adalah satu realiti yang pahit untuk ditelan tetapi, kebenaran berlaku di hadapan mata kecuali ada tindakan intervensi yang dilakukan oleh kerajaan, maka sampai bila peniaga bumiputera terus terpinggir dan dipinggirkan.

Sementara itu, ditanya mengenai kebenaran dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berhubung perkara yang dibangkitkan Aminuddin itu, Fahmi berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Petronas. – MalaysiaGazette

Artkel berkaitan:-

Bumiputera gagal bukan sebab tidak pandai, tapi kerajaan tak sokong – Aminuddin

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast