KUALA LUMPUR – Konflik antara Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus dengan bekas pemainnya, Zaquan Adha Razak berlarutan apabila bekas penyerang kebangsaan tersebut kini membuka mulut.
Menerusi satu hantaran di Instastory peribadinya, pemain berusia 37 tahun itu menjawab dakwaan Faliq tidak pernah menyemak statusnya dengan skuad Jang musim depan meskipun pada awalnya, dia berada dalam perancangan pasukan.
“Maaf, saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa tetapi saya rasa awak (Faliq) boleh betulkan kenyataan awak ni semula. Saya WhatsApp awak, langsung tidak dibalas.
“Saya tanya nak jumpa pukul berapa, awak biarkan sahaja. Jangan cakap kat orang saya tak semak status, macam mana nak semak kalau awak lari-lari daripada saya.
“WhatsApp tak dijawab, telefon tidak angkat. Ingatlah wahai CEO, jawatan hanya sementara. Jangan cerita kepada orang perkara yang hanya untuk lepaskan diri sendiri,” katanya.
Hantaran itu dibuat berserta tangkap layar perkongsian Faliq dengan isu berkenaan terus menjadi perdebatan hangat peminat bola sepak tanah air.
Sebelum ini, Zaquan Adha meluahkan rasa kecewa kerana Negeri Sembilan FC menamatkan kontraknya yang dimaklumkan menerusi sepucuk surat.
Pendekatan dibuat pihak pengurusan Negeri Sembilan FC itu telah melukakan hatinya selepas tahun-tahun perkhidmatannya dengan kelab itu.
Justeru, yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) buat kali kelima pada Jun lalu sudah mengumumkan persaraannya.
Namun Faliq menjawab pendedahan Zaquan apabila bekas pemain itu pernah menyemak statusnya dengan skuad Jang musim depan meskipun pada awalnya, dia berada dalam perancangan pasukan.
Namun setelah mengambil kira usia dan sejarah kecederaannya, pasukan berkenaan memilih untuk tidak menyambung kontraknya bagi saingan akan datang. – MalaysiaGazette