Onn Hafiz mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Plaza Angsana bersama isteri, Sharmin Fazlina Shukor petang semalam.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor melalui 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah meluluskan 182 lokasi bazar Ramadan yang melibatkan hampir 10,000 tapak niaga tahun ini, kata Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Semalam, saya dan Isteri berkesempatan melawat ke Bazar Ramadan di Padang A, yang menempatkan kira-kira 174 tapak niaga yang menawarkan aneka makanan seperti kuih-muih, lauk pauk serta minuman dan merupakan antara bazar terbesar di Johor Bahru.

“Saya gembira dapat meluangkan masa beramah mesra dan berswafoto bersama peniaga dan orang ramai yang sedang membeli juadah berbuka pilihan mereka. Sempat juga saya membeli beberapa juadah serta kuih muih sebagai pemanis mulut untuk berbuka.

“Semoga Ramadan kali ini dapat mengajar kita untuk lebih sabar, bersederhana dan bersyukur untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Insya-Allah,” kata Menteri Besar Johor itu.

Terdahulu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memaklumkan telah meluluskan 11 lokasi bazar Aidilfitri anjuran swasta di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman dalam masa sama turut mengingatkan penganjur setiap bazar Ramadan untuk mematuhi aspek kebersihan di lokasi bazar supaya tidak timbul isu sampah longgok yang boleh mengundang isu lain.

“Pemantauan akan dilakukan sepanjang tempoh penganjuran dan jika terdapat pelanggaran syarat pelesenan seperti meninggalkan barang niaga di tapak atau tapak bazar kotor selepas tempoh perniagaan.

“MBJB mempunyai kuasa untuk membatalkan penganjuran tersebut,”katanya.-MalaysiaGazette