KUALA LUMPUR – Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara mengalami penurunan dalam tempoh 10 tahun, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut beliau, terdapat beberapa faktor disebabkan penurunan itu, antaranya kadar penanaman semula yang rendah.
“Antara sebab pengeluaran sawit Malaysia rendah adalah kerana tiga faktor iaitu kekurangan tenaga kerja, hasil buah sawit yang rendah akibat pengurusan ladang yang tidak efisien.
“Ia khususnya yang melibatkan pekebun kecil dan fokus kepada peningkatan hasil dan bukan pembukaan tanah baru untuk penanaman sawit,” kata Johari dalam penggulungan usul memjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di peringkat kementerian, hari ini.
Johari berkata, disebabkan itu, keluaran MSM (minyak sawit mentah) Malaysia telah menurun daripada 19 juta tan metrik pada 2013 kepada 18.6 juta tan metrik pada 2023.
Beliau berkata, keluaran MSM Indonesia telah meningkat daripada 26 juta tan metrik (2013) kepada anggaran 45.8 juta tan metrik (2023).
Mengulas lanjut, Johari berkata, kadar penanaman semula bagi tempoh 2014 hingga 2023 agak rendah iaitu pada kadar 1.8 peratus setiap tahun (estet: 2%; pekebun kecil 1%).
“Pada tahun 2023, 8.5 peratus (480,000 ha) daripada jumlah keluasan tanaman sawit negara (5.7 juta ha) terdiri daripada pokok yang berusia lebih daripada 25 tahun. Ini merupakan peningkatan yang ketara daripada 5.6 peratus pada tahun 2014.
“Jika kadar penanaman semula kekal rendah pada kadar 2 peratus bagi dua tahun akan datang, 13.7 peratus (768,000 ha) daripada jumlah keluasan tanaman sawit negara dijangkakan mempunyai pokok yang berusia lebih daripada 25 tahun,” katanya lagi.
Johari berkata, industri sawit kekurangan sekitar 40,000 orang penuai dan hasil buah sawit yang rendah akibat pengurusan ladang yang tidak efisien jugsa turut menyumbang kepada penurunan MSM. – MalaysiaGazette