Seramai 11 warga asing Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka menerusi Terminal Feri Stulang Laut semalam.

JOHOR BAHRU – Depot Imigresen Pekan Nenas Jabatan  Imigresen Malaysia (JIM) Johor telah melaksanakan pemindahan seramai 11 tahanan warganegara Indonesia ke negara asal melalui Terminal Feri Stulang Laut semalam.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir dalam kenyataan medianya memberitahu, ia merupakan pemindahan khas yang dibuat ekoran menjelang Ramadan.

“Antara tahanan yang dihantar pulang adalah ibu bersama anak masing-masing dan tahanan yang berpenyakit.

“Pemindahan itu juga melibatkan seorang tahanan berstatus gelandangan yang telah selesai menerima rawatan akibat masalah paru-paru.

“Alat bantuan pernafasan diberikan sepanjang perjalanan tahanan ini dari hospital Sultanah Aminah sehingga selamat menaiki feri. Pihak Depot Imigresen Pekan Nenas turut menyediakan seorang pembantu perubatan bagi memastikan tahanan yang sakit  dapat menaiki feri dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata, penghantaran pulang tahanan dibuat setelah kesemua mereka selesai menjalani hukuman daripada pelbagai kesalahan termasuk kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta kesalahan di bawah akta agensi penguatkuasaan lain.

“Kesemua tahanan ini juga telah disenarai hitam di dalam sistem jabatan dan tidak boleh memasuki Malaysia dalam tempoh lima tahun atau selama-lamanya mengikut kesalahan yang telah dilakukan.

“Pemindahan tahanan ke negara asal ini akan lebih kerap dilakukan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan kesemua tahanan yang telah menjalani hukuman dapat pulang ke negara asal mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya lagi.

Pemindahan yang dilaksanakan itu turut mendapat kerjasama dari pihak Kedutaan Indonesia di negara ini. – MalaysiaGazette