KUALA LUMPUR – Polis mengesan kegiatan licik sindiket scamming mobile base station yang menipu dengan memperdaya pengguna telekomunikasi menerusi penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu mewujudkan based transceiver station (BTS) palsu untuk menarik pengguna talian dari telekomunikasi berbeza dengan menukar rangkaian jalur lebar dari 4G kepada 2G.
“Melalui perkongsian maklumat dengan sebuah syarikat telekomunikasi, sindiket menggunakan teknik man in the middle bagi menghantar SMS penipuan kepada pengguna talian telefon bimbit.
“Apabila telefon bimbit mangsa telah memasuki rangkaian BTS milik sindiket, SMS yang mengandungi skrip penipuan (pautan phishing) dihantar daripada short code SMS (spoofing) yang sebenar,” katanya pada sidang media di Menara KPJ Jalan Tun Razak hari ini.
Tambah Ramli, mangsa yang terpedaya dan menekan pautan yang diberikan sindiket akan dibawa kepada mobile website palsu yang menawarkan barangan elektronik murah yang dicipta sindiket itu sendiri.
Mangsa yang tertarik dengan tawaran harga murah barangan elektronik tersebut seterusnya akan membuat pembayaran melalui payment gate way.
“Semasa membuat pembayaran, jumlah yang tertera adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah yang ditawarkan awal di laman web mobil itu.
“Mangsa yang tidak memeriksa jumlah bayaran dengan betul serta meluluskan bayaran akan kehilangan wang serta merta dan barang yang dipesan juga tidak diterima langsung sebelum disedari menjadi mangsa penipuan.
“Setakat ini, polis tidak dapat dipastikan berapa jumlah mangsa yang telah diperdaya oleh sindiket itu dalam skim ini,” katanya.
Sebagai langkah berhati-hati, beliau menasihati orang ramai untuk tidak menekan sebarang pautan yang diteirma mereka melalui SMS dalam apa jua keadaan.
“Ia juga adalah selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 28 April tahun lalu yang tidak lagi membenarkan penghantaran pautan melalui SMS,” tegasnya. – MalaysiaGazette