Seorang pekerja memasukkan pucuk daun teh yang siap dipetik ke dalam sebuah bakul ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Cameron Highlands, Pahang. foto arkib MalaysiaGazette

PUTRAJAYA – Pusat peranginan tanah tinggi, Cameron Highlands di Pahang dinobatkan antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2024.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengumumkan perkara itu sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024, di sini hari ini berkata, Cameron Highlands dipilih berdasarkan garis panduan ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pemilihan itu dibuat hasil persepsi dan perasaan penduduk di tanah tinggi itu bukannya dinilai oleh persepsi pihak ketiga.

“Tapi bagi saya yang penting perasaan penduduk sendiri di mana mereka rasa gembira tinggal di sana, selain beberapa faktor lain.

“Dari segi persepsi mungkin ada isu alam sekitar, penerokaan dan lain-lain namun, mungkin penduduk di sana rasa syok menetap di situ dengan cuaca sejuk sekali gus membuat mereka gembira.

“Dari segi pendapatan pula, ada ramai golongan T20 dan M40 di sana jadi, tahap pendapatan mereka juga boleh buat mereka rasa gembira dan bahagia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun 2024, di sini hari ini.

Bandar-bandar lain dalam kategori sama termasuk Jeli, Kelantan; Jerantut, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Kulai, Johor; Lenggong, Perak; Bandaraya Melaka Bersejarah, Melaka; Petaling Jaya, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Rompin, Pahang.

Dalam pada itu, lima bandar diletakkan bawah kategori bandar keluarga bahagia termasuk Bandar Keluarga Bahagia Kota Marudu, Sabah; Bandar Keluarga Bahagia Kuala Langat, Selangor; Bandaraya Komuniti Bahagia Subang Jaya, Selangor; Bandar Komunti Bahagia Tampin, Negeri Sembilan dan Bandaraya Bahagia Mesra Usia Ipoh, Perak.

Kor Ming berkata, antara penyumbang utama tahap kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk adalah kualiti perkhidmatan yang diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti penjagaan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah berkesan.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-55 paling bahagia di dunia dengan skor indeks 6.012 daripada 137 negara anggota PBB.

Katanya, kedudukan itu lebih baik berbanding tangga ke 70 daripada 149 negara tahun lalu manakala, bagi asia tenggara pula dikedudukan kedua dibelakang Singapura dan kedudukan ke-9 di Asia pada tahun sama.

“Menurut Laporan Kebahagiaan Sedunia 2023 (World Happiness Report 2023 (WHR 2023), Finland kekal tempat pertama negara paling bahagia enam tahun berturut-turut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast