KUALA LUMPUR – DēMOCCIS Boutique Hotel milik Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) menawarkan pakej harga bufet Ramadan mampu beli.
Ia bagi memastikan semua golongan mampu berbuka puasa dalam suasana dan sajian makanan setaraf hotel empat bintang.
Pengerusi Lembaga MOCCIS, Datuk Ahmad Sobri Wan Teh berkata, sebagai sebuah koperasi, pihak hotel amat menitikberatkan keupayaan dan kesediaan pelanggan untuk berbelanja setanding pakej bufet Ramadan ditawarkan hotel lain sekitar ibu kota.
“Seiring dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barangan, rakyat Malaysia dilihat mengamalkan langkah penjimatan dalam berbelanja pada setiap Ramadan.
“Oleh itu, pihak kami menyediakan harga yang amat berpatutan untuk dinikmati oleh pelanggan-pelanggan DēMOCCIS Boutique Hotel.
“Khusus buat anggota-anggota berdaftar dengan MOCCIS, ditawarkan diskaun sebanyak 10 peratus bagi bufet Ramadan dan diskaun 20 peratus penginapan di DēMOCCIS Boutique Hotel serta pelbagai aktiviti-aktiviti sepanjang bulan Ramadan akan dijalankan oleh pihak hotel” katanya pada majlis pelancaran Sajian Bufet Klasik bertemakan Citarasa Dē Anjung Klasik di sini semalam.
Bufet Ramadan itu yang menyajikan 50 juadah istimewa dengan kepelbagaian lauk-pauk, kuih-muih, manisan dan minuman serta kambing golek serendah RM59 bagi pembelian awal.
Ruang Bufet Ramadan di Dē Anjung mempunyai kapasiti sehingga 200 orang bagi satu-satu masa, dengan ruang eksklusif di Ledang Skyview Lounge dengan panorama KLCC bagi tempahan khusus untuk majlis persendirian, syarikat swasta atau kerajaan.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, MOCCIS Berhad turut memperkasa tanggungjawab sosial kepada masyarakat sepanjang Ramadan ini bagi membantu dan meringankan beban golongan asnaf dan fakir miskin.
Antara tajaan yang diberikan oleh adalah sumbangan zakat dan duit raya, tajaan penuh umrah Ramadan kepada golongan istimewa atau kurang upaya.
“Pada Ramadan tahun 2024 ini, MOCCIS Berhad memberikan sumbangan foodbank berupa barang keperluan makanan.
“Ia diberikan kepada 30 penerima dari Pertubuhan Kelab Inovasi Lestari Hijau mewakili anak-anak asnaf dan ibu tunggal Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, MOCCIS atau dahulunya dikenali sebagai Malay Officers Cooperative Credit And Investment Society (MOCCIS) ditubuhkan pada 4 Julai 1934 merupakan salah sebuah koperasi Bumiputera terbesar di Malaysia.
Sehingga hari ini, MOCCIS memiliki lebih 17,000 ahli koperasi dan antara salah satu koperasi Bumiputera yang masih relevan dan utuh mencapai usia 90 tahun iatu sedekad ke arah sebuah koperasi bumiputera tertua di Malaysia.
Pelbagai fasiliti pinjaman dan kemudahan diberikan oleh MOCCIS kepada ahli-ahli sedari awal penubuhannya, kini telah berkembang lebih pesat dalam sektor perladangan kelapa sawit dan agrotourism.
MOCCIS dengan pengurusan terbaharu telah membangunkan sebuah butik hotel iaitu DēMOCCIS Boutique Hotel di ibu kota dengan kos pembinaan RM6 juta melalui pembiayaan koperasi sendiri tanpa pinjaman bank. – MalaysiaGazette