KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) nekad untuk terus menjadi blok ketiga iaitu pembangkang dan menjadi suara rakyat di dalam mahupun luar Parlimen.

Meskipun parti itu kini tidak mempunya presiden namun MUDA memberi jaminan akan terus memperjuangkan isu melibatkan kos sara hidup rakyat, peruntukan adil kepada semua ahli Parlimen dan reformasi institusi yang masih belum terlaksana.

“Muda sebulat suara, memberikan komitmen sebagai blok ketiga dalam dan luar Parlimen dan akan terus menjadi semak dan imbang kepada kedua-dua blok utama dalam politik Malaysia,” kata Muda menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, MUDA mengingatkan semua ahlinya supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang melangkaui keputusan yang disepakati terutama melibatkan status penyertaan dengan parti lain.

“Isu penyertaan MUDA dalam acara yang tular telah pun dijawab oleh pimpinan Muda. Kami ingin sekali lagi, Sebarang pengumuman berkaitan MUDA dan pimpinan hanya akan dibuat melalui platform rasmi parti,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebaik sahaja Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) MUDA selesai bermesyuarat berkala bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kenyataan turut menambah, MUDA Muda akan konsisten bersuara, menolak dan mendesak supaya cadangan pindaan Perlembagaan bagi isu kerakyatan yang akan memberi kesan khususnya kepada kanak-kanak tidak dibuat secara tergesa-gesa. -MalaysiaGazette