Tangkap layar video Tik Tok tular mengenai kesesakan di SK Cyberjaya

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai beberapa perancangan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi isu kesesakan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

Penyelesaian jangka pendek yang sedang dilaksanakan termasuk penyuraian murid Tahun 1 ke beberapa buah sekolah yang berdekatan serta meluluskan pembinaan kabin 12 buah bilik darjah tambahan.

Tambahnya, bagi penyelesaian jangka panjang SK Cyberjaya 2 yang dibida dalam Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12 telah mendapat kelulusan dan kini berada dalam proses perolehan.

“Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepatkan proses pembinaan. SK Cyberjaya 2 dijangka siap pembinaan pada tahun 2028,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, KPM turut mempunyai perancangan masa hadapan bagi mengatasi isu kepadatan murid di Cyberjaya.

“Ini termasuk menerusi pembinaan sekolah menengah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya 2 yang akan dimohon dalam RMKe-13 RP1 Tahun 2026 pada tahun ini.

“Dan perolehan tanah bagi pembinaan SK Cyberjaya (3) yang akan dimohon dalam RMKe-13 RP2 Tahun 2027 pada tahun 2025.

“KPM sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan murid, guru dan semua warga sekolah di seluruh negara. Pendidikan manusiawi memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa SK Cyberjaya yang mempunyai 13 kelas Tahun 1 terpaksa memuatkan 50 pelajar dalam satu bilik darjah kerana lebihan permohonan dan kekurangan ruang pembelajaran. – MalaysiaGazette