KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan asing pada jarak lebih kurang 35 batu nautika di timur laut perairan Pulau Tioman pada petang Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot berkenaan dikesan ketika pihaknya sedang menjalankan rondaan penerbangan sekitar perairan Pahang.

Bot nelayan itu didapati sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Serentak itu, kapal Maritim Malaysia yang terlibat dalam rondaan Op Makmur dan Op Tiris diarahkan untuk memeriksa bot tersebut.

Menyedari kehadiran kapal maritim, bot tersebut cuba untuk bertindak melarikan diri kerana enggan memberikan kerjasama.

Hasil laut yang dirampas Maritim Malaysia.

Setelah berlaku situasi kejar-mengejar lebih sejam jam, bot nelayan terbabit berjaya dipintas dan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

Hasil penggeledahan mendapati enam kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 19 hingga 37 tahun berada di atas bot yang kesemuanya adalah lelaki warganegara Vietnam.

Kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta mengemukakan lesen bot yang meragukan selain tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

Mereka ditahan termasuk bot beserta 250 kilogram hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut.

Kesemua hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985yangmemperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong danRM600,000 bagi setiap kru sekiranya disabit salah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast