KUALA LUMPUR – DAP menyokong keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan kekesalan terhadap Israel dan sekutunya ketika sidang media bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, rakyat Malaysia juga harus bersama-sama dalam memastikan kesengsaraan Palestin disuarakan sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Sementara kita bersolidariti dengan rakyat Palestin, harus ditekankan bahawa kekejaman di Gaza hanya dapat ditamatkan melalui penyelesaian antarabangsa.
“Oleh itu, rakyat Malaysia mempunyai kewajiban moral untuk berdiri bersama dengan perdana menteri kita dalam mencari pengakhiran kepada kesengsaraan rakyat Palestin di pentas antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Lebih 30,000 nyawa rakyat Palestin terkorban sejak episod keganasan Israel mengepung dan menyerang Gaza enam bulan lalu.
Anwar dalam rangka lawatan enam hari ke Jerman baru-baru ini telah mempersoalkan kemanusiaan Barat dan mengutuk sikap “selektif” dan “ambivalen” mereka yang juga sekutu Israel.
Anwar menegaskan, penyelesaian konflik di GAza tidak boleh dicapai dengan bersikap berat sebelah, dari segi hanya melihat satu isu tertentu dan memadam 60 tahun kekejaman.- MalaysiaGazette