Gajah betina tertiarap di atas jalan raya selepas dilanggar kereta di engah jalan di KM 45, Kampung Kolam di Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, malam tadi.

KUALA TERENGGANU – Seekor gajah betina yang dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan sebelum ia melarikan ke dalam hutan di Kampung Kolam, Setiu di sini malam tadi berjaya ditangkap hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Husin berkata, gajah itu ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Besut di sekitar Telaga Papan, Setiu pada kira-kira 1 tengah hari tadi.

“Haiwan liar itu ditangkap di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan sebuah kampung iaitu kira-kira 20 kilometer (km) dari lokasi berlakunya kemalangan.

“Selepas ini gajah tersebut akan dihantar ke kawasan hutan simpan sama ada di Gerik, Perak atau Hulu Terengganu untuk dilepaskan semula jauh dari penempatan manusia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu Bernama melaporkan Sharul Azma Che Samaon, 42, terselamat selepas kenderaan jenis Porsche Cayenne dipandunya terlanggar seekor gajah sesat yang berada di tengah jalan di KM 45, Kampung Kolam di Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja, malam tadi.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaan dipandunya rosak di beberapa bahagian hadapan antaranya cermin retak, bampar dan lampu pecah selain kemek pada bonet dan ‘fender’.

Gajah tersebut yang sebelum itu dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan pada 6.30 petang, dilaporkan cedera di bahagian kaki sebelum melarikan diri dengan masuk ke kawasan hutan kira-kira 10 minit selepas perlanggaran itu.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast