Nasib rakyat Palestin tidak menentu selepas segala yang mereka miliki dimusnahkan Israel.-Foto PalestineRed Crescent Society

TORONTO – Keadaan kemanusiaan di Gaza kini melampaui malapetaka dan disifatkan sebagai mimpi ngeri yang nyata.

Wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) untuk Palestin Dominic Allen yang baru selesai melawat Gaza berkata, keadaan yang dialami penduduk di wilayah Palestin itu lebih daripada krisis kemanusiaan.

“Setelah meninggalkan Gaza minggu ini, saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa keadaannya lebih teruk daripada yang saya boleh bayang atau gambarkan yang boleh ditunjukkan atau yang anda boleh bayangkan,” katanya.

Allen berkata, adalah mustahil untuk menggambarkan keadaan di Gaza dan menekankan  penduduk di sana turut mengalami kelaparan dan dalam keadaan “sangat sukar”.

Katanya, perjuangan penduduk Gaza kini hanyalah untuk memastikan mereka terus hidup.

Tambah beliau, ketakutan ada di mana-mana di Gaza terutamanya bagi wanita hamil sambil menambah bayi yang mati ketika dilahirkan telah menjadi lebih biasa.

“Sebab itu doktor yang saya temui menggesa gencatan senjata kemanusiaan disegerakan,” katanya seperti yang dilaporkan Agensi Anadolu.

Mengingatkan bahawa 70 peratus daripada mereka yang terbunuh di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak, Allen berkata: “Ibu-ibu itu sepatutnya memeluk anak-anak mereka, kanak-kanak itu tidak sepatutnya dibungkus dengan beg mayat.”

Jumlah kematian di Gaza kini melebihi 31,000 nyawa dengan sebahagian besar daripadanya adalah bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Serangan Israel telah menyebabkan 85% penduduk Gaza menjadi pelarian di tanah air sendiri selepas rumah mereka musnah dibom.

Sekatan yang dikenakan Israel selama lebih lima bulan telah melumpuhkan penyaluran bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.- Agensi