KUALA LUMPUR – Pengunjung Bazar Ramadan Kampung Baru digalakkan menggunakan pembayaran kod QR dengan aplikasi MAE ketika membeli-belah sepanjang bulan mulia ini.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana dengan pembelanjaan RM10, mereka akan layak mendapat diskaun sebanyak RM2 dan bakinya dibayar oleh Maybank.
Menurut beliau, penggunaan QR juga lebih selamat dan boleh digunakan pada bila-bila masa tanpa menimbulkan isu penukaran wang baki.
“Tapi kita tidak wajibkan (QR), cuma hendak mendidik kerana teknologi ini susah hendak wajib dan masyarakat pun memiliki pelbagai jenis telefon.
“Kita ingin membudayakan membayar guna QR kerana hanya bawa telefon dan imbas, apatah lagi dapat diskaun RM2,” katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Imbas dan Bayar di Bazar Ramadan Kampung Baru Jalan Raja Alang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Kewangan Pengguna, Malayan Banking Berhad, Zolkefli Awang.
Mengulas lanjut, Zolkefli berkata, program Imbas dan Bayar pertama kali diadakan sepanjang Ramadan ini melibatkan tiga Bazar Ramadan.
Katanya, selain Kampung Bharu, program itu turut dilaksanakan di Bazar Ramadan Melawati dan Desa Pandan.
Menurut beliau, ia melibatkan lebih 600 peniaga yang bersetuju menyertai program tersebut. – MalaysiaGazette