KUALA LUMPUR – Dua pemain, Matthew Davies dan Junior Eldstal tidak menyertai skuad Harimau Malaya menentang Oman pada perlawanan ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Dunia / Piala Asia 2027 di Muscat pada 21 Mac ini (22 Mac, 2 pagi waktu Malaysia).
Kedua-dua pemain JDT itu tidak melaporkan di kem latihan pusat pasukan kebangsaan selepas pasukan dari selatan tanah air itu memaklumkan mereka telah mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada Khamis lalu menerusi surat rasmi.
Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, JDT memohon pengecualian buat kedua-dua pemain berkenaan untuk melapor diri bersama skuad kebangsaan dan akan menjalani rawatan pemulihan selanjutnya bersama kelab.
“Dengan ketiadaan Matthew dan Junior, skuad Harimau Malaya kini mempunyai 31 pemain dalam kem latihan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Katanya, daripada 31 pemain itu, seramai tujuh pemain telah dilepaskan ke skuad B-23 kebangsaan kendalian Juan Torres Garrido yang akan memulakan kem latihan pusat pada hari ini bagi persiapan menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, bulan depan.
Sementara itu, skuad Harimau Malaya telah berlepas ke Muscat bagi mengharungi perlawanan ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Dunia / Piala Asia 2027 itu. – MalaysiaGazette