KUANTAN – Pemuda Pas Pahang menyerahkan bonus dan kuih raya berjumlah RM103,610 kepada guru di bawah institusi pendidikan kelolaan Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP), hasil kutipan hampir setahun.
Ketuanya, Zarimi Shubrawi berkata, sesi kutipan sumbangan dirancang awal bagi memastikan sasaran tercapai untuk diagihkan kepada semua kakitangan pada setiap tahun.
Ia diagihkan kepada kakitangan Sekolah Rendah Intergrasi Teras Islam (SRITI), Sekolah Menengah Intergrasi Teras Islam (SMITI) dan Maahad Tahfiz Al-Istiqamah di negeri ini.
“Alhamdulillah sumbangan ini adalah merupakan tahun ke-2 yang kita usahakan untuk beri bonus dan kuih raya buat semua guru-guru dan kakitangan.
“DPPN Pahang akan terus berusaha mencari dana bagi menguruskan institusi pendidikan yang ada serta menambah baik kualiti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Penyerahan sumbangan dilakukan selepas mesyuarat Exco DPPN Pahang di dewan pra tahfiz SRITI Indera Sempurna Kuantan kepada Ketua Sektor Pendidikan DPPNP, Khairul Nizam Mustofai, hari ini.
Menurut Zarimi, bonus dan kuih raya itu merupakan penghargaan buat guru institusi pendidikan DPPNP Pahang yang bertungkus lumus mencurahkan ilmu dan bakti demi pendidikan Islam kepada pelajar. – MalaysiaGazette