Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Langkah Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman terhadap pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah mencabar Lembaga Pengampunan, sekaligus mengaitkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata, tindakan Majlis Peguam itu jelas menuduh lembaga tersebut bersifat tidak adil.

“Usul Majlis Peguam seolah olah menuduh Lembaga Pengampunan tidak adil dan bukan di bawah prerogatif YDP Agong.

“Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara perlu jawab segera kekeliruan yang dimainkan oleh Majlis Peguam ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman terhadap pengampunan Najib selepas usul mencabar pengampunan bekas Perdana Menteri itu diluluskan dalam mesyuarat agung tahunannya.

Usul mencabar kesahihan pengampunan Najib itu menerima sejumlah 238 ahli yang menyokong manakala hanya seorang ahli yang menentang cadangan itu.

Presiden Majlis Peguam yang baharu dilantik pada AGM itu, Ezri Abdul Wahab berkata, semakan pengampunan itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi.

Jelas Puad, Majlis Peguam dilihat berat sebelah serta memihak dan memainkan politik.

“Hingga hari ini mereka bisu apabila Tommy Thomas gugurkan kes rasuah Lim Guan Eng. Najib tidak memohon pengurangan hukuman. Dia mohon supaya diberi pengampunan penuh atas 12 hujah dia tidak mendapat perbicaraan adil.

“Saya cabar Majlis Peguam jawab penghakiman Datuk Abdul Rahman Sebli Hakim Besar Sabah-Sarawak. Dia kata Najib patut bebas kerana dinafikan perbicaraan adil,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, Najib dilapor diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette