KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) hari ini selepas 53 hari menjalani rawatan di situ.
Pejabat beliau dalam satu kenyataan berkata, Dr Mahathir yang dimasukkan ke IJN kerana jangkitan dibenarkan keluar pada jam 11.30 pagi tadi.
“Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 26 Januari 2024, untuk rawatan jangkitan dan untuk pemerhatian dan dibenarkan keluar hospital 11.30 pagi,” menurut kenyataan dua perenggan dari pejabat Dr Mahathir.
Disebabkan rawatan itu, perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Feburari lalu ditangguhkan ke 19 Julai depan.
Perbicaraan kes saman fitnah difailkan Dr Mahathir terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kerana didakwa mempersoalkan asal usul bekas Perdana Menteri berkenaan, yang sepatutnya bermula 11 September lalu. – MalaysiaGazette