Medan selera menawarkan khidmat seks wanita 'kalung bunga' antara premis hiburan malam diserbu pada malam Sabtu.- Gambar ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Sebuah medan selera di ibu negara disyaki menawarkan khidmat seks wanita ‘kalung bunga’ antara premis hiburan yang digempur pihak berkuasa pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan serbuan ke atas 11 premis termasuk pusat urut dan medan selera bermula 2.50 petang hingga 11 malam di Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang.

“Hasilnya pasukan serbuan berjaya menahan seramai 47 individu termasuk 27 wanita ditahan secara berasingan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran.

“Kesemua 47 individu yang ditahan itu terdiri daripada enam lelaki serta dua wanita warga tempatan, 14 lelaki dan 25 wanita warga asing berusia 18 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Noor Dellhan, siasatan lanjut pihaknya mendapati lapan orang berperanan sebagai penjaga premis, enam wanita menjadi pelayan pelanggan, empat wanita disyaki melacur, 15 tukang urut wanita dan 14 lelaki adalah pekerja premis urut.

“Pelanggan itu akan membayar dengan harga tertentu untuk kalung bunga, kemudian membawa keluar wanita terbabit bagi tujuan seks.

“Dalam serbuan sama, pemeriksaan lanjut berjaya membawa pasukan kepada rampasa lima keping kondom, tiga minyak urut, lima helai tuala, tiga gulung tisu dan empat keping resit perniagaan.

Pasukan serbuan juga berjaya merampas 10 keping jadual kerja, tujuh iklan pakej urutan, lima lesen perniagaan, 20 kalung bunga, tiga mikrofon, satu pembesar suara, dekorder kamera litar tertutup, 10 modem, satu router, dua telefon bimbit dan wang tunai RM4,730.

Kesemua individu yang ditahan dalam serbuan itu direman untuk membantu siasatan polis yang dijalankan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Pada masa yang sama, Noor Delhan meminta kerjasama orang ramai dengan menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan termasuk persundalan yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette