Antara motosikal yang dirampas dalam Op Samseng Jalanan di Bukit Ampang, 16 Mac yang lepas.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 individu termasuk dua remaja dan 15 buah kenderaan telah diperiksa dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Bukit Ampang Saujana dekat sini pada 16 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Senior Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kawasan berkenaan merupakan port golongan remaja melakukan aktiviti seperti aksi merbahaya dan menguji kekuatan ekzos motosikal masing-masing.

“Semasa menjalankan rondaan pada 10.00 malam, kami telah terserempak dan menahan dua orang remaja lelaki yang berusia 18 dan 19 tahun serta motosikal yang ditunggang.

“Hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran yang dipamerkan di motosikal adalah palsu dan telah didaftarkan pada kenderaan jenis motokar,” katanya.

Justeru itu, kedua individu berkenaan telah dibawa balik ke balai polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang operasi berkenaan, 15 individu bersama kenderaan mereka turut ditahan dan diperiksa manakala 47 keping saman telah dikeluarkan serta 10 motosikal juga disita atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

Semua kenderaan telah dibawa ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987 untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette