Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesan suntikan modal berjumlah RM259.98 juta oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) daripada 2007 hingga 2018 tanpa kelulusan Menteri Kewangan bagi tujuan pemilihan saham dalam UiTM Holdings tidak selaras dengan kehendak Akta 173.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, projek solar oleh pihak UiTM Holdings jelas memberi manfaat kepada pengoperasian UiTM.

Namun, jelas beliau, pertukaran syarat nyata tanah di Solar Park I Gambang, Pahang masih belum diselesaikan.

“Kegagalan memuktamadkan perjanjian penyewaan baharu antara UiTM dan UiTM Private Healthcare Sdn. Bhd. (UPHSB) mengakibatkan berlaku tunggakan sewaan selama 15 bulan selain menyebabkan bangunan hospital Pusat Kesihatan Pakar UiTM tidak dapat disenggara dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati menambah, PAC turut menegur syarikat pemegang pelaburan milik penuh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan beberapa anak syarikat universiti berkenaan kerana belum mencapai objektif asal termasuk mandat untuk mencipta kekayaan kepada UiTM.

Menurutnya, UiTM Holdings dan anak-anak syarikat juga ditegur kerana didapati belum mencipta peluang pelaburan dan meningkatkan kedudukan strategik perniagaan teras syarikat.

Beliau berkata, dapatan itu terkandung dalam lima rumusan berdasarkan prosiding yang dijalankan pihaknya pada 6 Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut rumusan lain yang digariskan pihaknya, beliau berkata, PAC mendapati UiTM gagal mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan yang tidak selaras dengan peruntukan di bawah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173).

Pada prosiding pada 6 Disember tahun lalu, PAC memanggil enam saksi dan mereka adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpullan UiTM Holdings, Farisan Mokhtar.

Dalam mesyuarat penyediaan laporan berkenaan yang berlangsung 27 Februari lalu, ia turut dihadiri tujuh Ex-Officio PAC terdiri daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Audit Negara (JAN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara.

Menurut Mas Ermieyati, semua Ex-Officio berkenaan bersetuju dengan laporan, rumusan, syor dan memuktamadkan laporan ini.

Sebagai langkah penambahbaikan, Mas Ermieyati berkenaan PAC mengesyorkan enam perkara kepada KPT dan UiTM untuk ditambah baik.

Pertama, beliau berkata PAC mengesyorkan kepada UiTM agar lebih efektif dalam mengawal selia UiTM Holdings dan anak-anak syarikatnya supaya menjana keuntungan dan mampu membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan.

Syor kedua, katanya UiTM perlu memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pinjaman dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173.

Mengenai syor ketiga, katanya KPT dan UiTM hendaklah memastikan bahawa tindakan pembetulan diambil dalam isu suntikan modal berjumlah RM259.98 juta supaya selaras dengan Akta 173.

“Keempat, pihak UiTM Holdings hendaklah segera menyelesaikan isu pertukaran syarat nyata tanah di Solar Park I Gambang, Pahang.

“Kelima, UiTM Holdings perlu membentangkan pelan komprehensif hala tuju pelaburan dan perniagaan termasuk menangani isu tunggakan terhadap penyewaan bangunan selama 15 bulan dan masalah penyenggaraan bangunan hospital Pusat Kesihatan Pakar UiTM.

“Keenam. PAC akan memanggil semula MOF, KPT dan UiTM bagi prosiding tindakan susulan bagi isu ini dalam tempoh dua bulan untuk mengetahui maklum balas MOF, KPT dan UiTM terhadap syor-syor yang diberikan oleh Jawatankuasa ini,” katanya. – MalaysiaGazette