Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini telah mencapai 26.7 peratus.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, mengikut kepada jadual perolehan, dua pesawat pejuang ringan itu dijangka diterima pada suku ketiga 2026 dan bakinya akan diterima secara berperingkat hingga penghujung 2027.

“Berdasarkan perancangan pesawat, LCA ini akan dipakai hingga 2045 berdasarkan polisi casting, pesawat pejuang serta akan melalui program mid-life upgrade iaitu bagi memastikan ia kekal beroperasi hingga 2055,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat FA-50M bagi kegunaan TUDM.

Pada Mei tahun lalu, semasa pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama Korea Selatan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara. – MalaysiaGazette