GEORGE TOWN – Kes saman fitnah usahawan kosmetik, Rozita Baharom atau dikenali sebagai Cheta Potpet terhadap Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi selesai selepas pempengaruh media sosial itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Saman itu berhubung kata-kata Muhmmad Iddin terhadap Rozita yang dimuat naik menerusi rakaman video di media sosial sejak Julai 2023.
Muhammad Iddin Syah, 29, selaku defendan tunggal, ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Datuk P. Anand turut bersetuju jumlah wang RM150,000 yang menjadi pertikaian antara dua pihak itu sebelum ini dianggap selesai.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada Rozita Baharom dan Syarikat Secret Desire Skincare Sdn. Bhd. di atas keterlanjuran kata-kata kesat.
“Saya juga bersetuju writ saman yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Butterworth ditarik balik,” katanya yang diwakili peguam Rafique Rashid dan Akif Rusli.
Selain itu, Muhammad Iddin juga bersetuju untuk membuat hantaran permohonan maaf dengan memuat naik video selama 10 hari bermula hari ini di semua media sosial miliknya bagi segala kata-kata yang diterbitkan ke atas Rozita.
Hakim Anand sebelum merekodkan penghakiman persetujuan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak termasuk peguam kerana berjaya menyelesaikan kes itu secara damai.
Anand turut membatalkan writ saman yang difailkan Muhammad Iddin di Mahkamah Sesyen Butterworth, tanpa kos.
“Terima kasih, kedua-dua kamu telah melihat dalam diri sendiri dan dapat menyelesaikan perkara ini secara damai. Ini bulan mulia, Ramadan.
“Kamu berdua juga sebagai pempengaruh dan juga ahli perniagaan yang mempunyai pengikut… amat bagus kerana boleh menyelesaikannya supaya masing-masing boleh bergerak ke hadapan dan melakukan perniagaan dengan lebih baik,” katanya.
K. Mahendran yang mewakili Rozita berkata, dalam tuntutan itu defendan juga bersetuju tidak akan memanjangkan isi berkaitan selain akan menurunkan semua penerbitan yang menjadi subjek tuntutan.
Sementara itu, Rozita yang ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa syukur susulan kes saman fitnah yang berlangsung hampir setahun itu menemui titik noktah atas kerjasama baik daripada kedua-dua pihak.
“Hampir setahun saya menanti saat ini kerana impak fitnah ini sangat besar dan kami bukan nak panjangkan isu tersebut sebaliknya lebih kepada demi maruah diri, anak-anak serta keluarga.
“Selama ini saya berdiam diri sebab biar ia diselesaikan dengan cara undang-undang dan Alhamdulillah, hari ini dapat kata putus antara kedua-dua pihak.
“Terima kasih juga kepada pihak defendan (Muhammad Iddin) kerana melancarkan urusan untuk hari ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Iddin memaklumkan dia mahu memberi fokus kepada perniagaannya.
“Alhamdulillah di bulan baik (Ramadan) ini semua urusan mahkamah telah selesai. Pihak sana (Rozita) pun boleh fokus perniagaan dan saya pun boleh fokus ke depan (urusan perniagaan),” katanya ringkas.
Media pada 22 Ogos lalu melaporkan usahawan kosmetik, Rozita Baharom memfailkan saman terhadap pempengaruh media sosial, Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi berhubung kenyataan fitnah terhadapnya yang dimuat naik menerusi rakaman video di media sosial sejak Julai lalu.
Dalam pernyataan tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Rozita yang lebih dikenali sebagai Cheta Potpet, 36, menuntut injunksi ganti rugi teladan berjumlah RM16 juta terhadap defendan. – MalaysiaGazette