KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah rumah di Jalan Bemban, Ampang, di sini, tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 12.19 tengah malam.
Katanya, seramai 10 anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati pintu rumah berkenaan berkunci. Pintu itu kemudian dibuka dan mereka menemui mayat mangsa berusia 48 tahun di dalam rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan penemuan di lokasi kejadian, lelaki terbabit dipercayai membunuh diri.
Mayat lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette