KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan termasuk ke atas parti politik dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran hak pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menjelaskan, pendirian kerajaan kekal dan komited dalam memperjuangkan nasib pekerja yang berhak ke atas gaji mereka dan ia bukan satu perkara yang boleh diambil mudah.
“Kita tidak akan kompromi di bawah siapa sama ada swasta, kerajaan, parti politik, bukan parti politik. KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) akan ambil tindakan jika hak pekerja tidak dibela.
“Negara kita ada raja dan undang-undang, tak kira siapa pun baik swasta, syarikat kerajaan di negeri Kedah, Pulau Pinang atau parti politik, semua kena ikut undang-undang. Kalau tak salah, jangan khuatir, kita akan bantu,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) semasa sesi Pertanyaan Menteri-menteri tentang satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia yang tular.
Ia berkait satu arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI.
Steven menambah, mana-mana pekerja yang terlibat dengan tunggakan gaji oleh majikan boleh hadir ke Pejabat Tenaga Kerja (PTK) di cawangan berdekatan bagi mendapatkan khidmat nasihat.
“Kes buruh yang difailkan di PTK cawangan akan dikendalikan melalui mahkamah buruh bagi menyelesaikan tuntutan kewangan oleh pekerja terhadap majikan, sebagaimana dalam peruntukan di bawah Seksyen 69 Akta Kerja 1955,” katanya. – MalaysiaGazette