KUALA LUMPUR – Bekas pemain Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Razak mengesahkan dia kini dilantik duta kepada pengedar barangan sukan di negara ini.
Bekas kapten Harimau Malaya itu berkata, tawaran itu diterimanya sebaik sahaja kontraknya bersama kelab lama itu disambung lagi.
“Itu antara rezeki lain yang dibuka bila saya dapat surat tidak disambung kontrak, terus orang call esok tengahari dan jumpa mereka serta sudah siap kontrak.
“Ia adalah pengedar barangan sukan sebagai duta dan ia rezeki untuk dan kena dengan bidang saya sebelum ini,” katanya yang ditemui pada pada majlis Grand Iftar bersama asnaf anjuran GNI Pharma Sdn. Bhd. di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur semalam.
Mengulas lanjut, Zaquan berkata, ramai yang yang salah faham mengenai video yang memaparkan menangis apabila mengumumkan keputusan bersara daripada karier bola sepak.
“Orang ingat saya tidak boleh terima (kontrak ditamatkan Negeri Sembilan FC). Sebenarnya tidak kerana saya menitiskan air mata itu. Ia kerana perkataan bersara.
“Sebagai pemain bola sepak atau mana-mana bidang sukan profesional, bila perkataan bersara itu keluar akan membuat kita rasa sebak. Bukan saya menangis itu sebab tidak disambung kontrak.
“Saya percaya kepada rezeki Allah dan duduk di rumah pun rezeki ada juga. Saya menangis itu sebab sayangkan karier bola sepak saya,” katanya.
Ditanya perancangan selepas bersara, bapa kepada enam anak itu mengakui masih menerima tawaran bola sepak sebelum mengumumkan hasrat bersara.
Namun faktor berjauhan dengan keluarga menyebabkan dia nekad membuat keputusan terbaik.
“Orang cakap satu pintu rezeki ditutup, ada pintu rezeki lain dibuka cuma pilihan saya perlu berbincang dengan isteri. Biasanya kalau bukan lagi pemain bola gaji memang akan beza dan saya kena urus dengan isteri anak dan sekolah anak-anak.
“Ada juga tawaran yang kena jauh daripada mereka sama ada saya kena terima, jadi saya buat pilihan Cuma buat masa ini saya ingin berehat sekejap dan bersama isteri dan anak-anak serta menjadi penjual sambal,” katanya.
Pada minggu lalu, Zaquan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus berbalas kenyataan di media sosial selepas menerima sekeping surat mengatakan kontraknya bersama kelab itu tidak disambung. – MalaysiaGazette