KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum membuat keputusan berhubung representasi yang difailkan pegawai polis berpangkat Inspektor dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ bagi membatalkan pertuduhan menyebabkan kegusaran awam di sebuah pusat beli-belah, Jun tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memberitahu Majistret Illi Marisqa Khalizan representasi yang dikemukakan inspektor tular itu atau nama penuhnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, masih lagi dalam semakan AGC dan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan sementara representasi itu diputuskan.
Hakim kemudiannya menetapkan 10 dan 11 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan kes manakala 16 Mei ditetapkan untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan representasi berkenaan.
Pada 8 Nov tahun lepas Sheila, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memarahi dan membunyikan hon kereta yang panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga menyebabkan kegusaran awam terhadap Nuraihan Nadzirah Ibrahim, 27.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini pada 5.26 petang 16 Jun tahun lepas mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan.
Sementara itu peguam M. Manoharan yang mewakili Sheila ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding berkata sekiranya keputusan representasi memihak kepada anak guamnya pada 16 Mei ini, perbicaraan tidak akan dijalankan.
“Anak guam saya juga mempunyai satu lagi kes yang akan disebut di Mahkamah Majistret Selayang esok,” katanya. – BERNAMA