Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati kos RM129 juta yang telah dibelanjakan Kerajaan bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 tidak berbaloi.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, dapatan itu adalah hasil daripada perbentangan Laporan PAC berhubung perkara itu hari ini.

“Ia disebabkan ketepatan aras air banjir dan ramalan berhubung bila serta di mana berlakunya banjir (dikenali sebagai HIT) tidak 100 peratus tepat.

“Selain itu, PAC juga mendapati walaupun jumlah keseluruhan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) telah dibayar melalui pemotongan bayaran kemajuan kontraktor, kelewatan bagi pemasangan sistem PRAB tidak sepatutnya berlaku kerana ia telah menjejaskan kehidupan sosial dan ekonomi rakyat yang terkesan dengan banjir,” kata Mas Ermieyati dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, PRAB adalah di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sebelum dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)].

Laporan ini dibentangkan selepas PAC mengadakan prosiding pada 16 Januari lalu dengan memanggil saksi-saksi antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Dr Ching Thoo, Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Dr Ahmad Anuar Othman dan Pengarah Kanan Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Fariza Yunus.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, dalam prosiding berkenaan, PAC dimaklumkan anggaran jumlah yang diperuntukkan bagi pembangunan PRAB fasa 1, fasa 2 dan fasa 3 adalah RM1.065 bilion.

“Atas sebab itu, PAC mahu baki pembangunan bagi PRAB fasa 2 dan fasa 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan sekali gus merealisasikan matlamat PRAB iaitu menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran banjir yang efektif dan berkesan kepada orang awam,” katanya lagi.

PAC merumuskan tujuh rumusan antaranya kelemahan dalam pengurusan projek telah menyebabkan kelewatan kerja di Lembangan Sungai Kelantan dan Terengganu sebanyak 1,829 hari.

Manakala, kerja di Lembangan Sungai Pahang pula mengalami kelewatan sebanyak 1,836 hari.

Dalam pada itu, penaiktarafan rangkaian 3G ke 4G di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyebabkan berlaku masalah penghantaran data dari stesen ke gateway yang tergantung melebihi tempoh tiga bulan berturut-turut kerana kontrak PRAB yang menggunakan rangkaian semasa iaitu 2G atau 3G.

Kos PRAB Fasa 2 yang asalnya berjumlah RM385 juta meningkat kepada RM522 juta berikutan penambahan sistem siren, kamera web dan program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA). – MalaysiaGazette