Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 kepada 17,704 penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafpiz Ghazi berkata, bantuan ini termasuk kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan-badan berkanun negeri.

Bantuan Khas Kewangan ini akan dibayar sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024.

“Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk Menimbal Guna Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Tahun 2024 yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk digunapakai di semua jabatan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT)dan badan berkanun negeri.

“Kerajaan negeri berharap pemberian bantuan ini dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka terus berkhidmat dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti serta berusaha sehabis baik untuk memacu Negeri Johor ke satu tahap lebih baik demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Onn Hafiz berkata, BIA Kajian SSPA Tahun ini sebanyak RM2,000 akan dibayar kepada pegawai perkhidmatan awam negeri, kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana, Gred 56 dan ke bawah.

Manakala RM1,000 akan dibayar kepada pegawai perkhidmatan awam negeri Gred jawatan utama/khas.-MalaysiaGazette