Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengingatkan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasit agar tidak membuat tuduhan melulu sebelum mendakwa Hala Tuju Sabah Maju Jaya sebagai gagal.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, gambaran yang cuba diberikan Suhaimi tidak tepat  sedangkan pelan pembangunan itu menunjukkan impak positif kepada pembangunan dan pelaburan di Sabah.

“Sejak Suhaimi bersahabat baik dengan Datuk Seri Mohd Shafie Adpal dan menjadi pembangkang, beliau semakin kurang bijak menterjemah isu membabitkan pentadbiran Sabah.

“Suhaimi bagai meludah ke langit terkena muka sendiri apabila mempersoalkan keadaan jalan di Sabah termasuk elektrik dan air.

“Ini kerana Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah sebelum ini dipegang oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Suhaimi meminta Kerajaan Negeri Sabah memberi penjelasan kepada rakyat tentang Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya didakwa gagal berikutan isu kemudahan asas dan kemiskinan masih berlarutan.

Suhaimi berkata, sejak ia dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mac 2021, rakyat masih tertanya-tanya tentang status pelan lima tahun itu.

Selain itu, Zulkarnain juga mengingatkan Suhaimi yang individu bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah jalan, air dan elektrik di Sabah ialah Bung Moktar sebelum dilucutkan jawatan menteri pada Januari 2023.

“Bung Moktar sepatutnya tidak berdiam diri kerana punca kegagalan masalah jalan, air dan elektrik ada mengena dengan kementerian yang diterajui beliau sendiri hampir dua tahun,” katanya.

Untuk rekod, Hala Tuju Sabah Maju Jaya telah berjaya memberi impak positif apabila Kerajaan Negeri Sabah berjaya menarik banyak pelabur luar ke Sabah.

“Pelan pembangunan itu menunjukkan kadar pengangguran semakin menurun di Sabah.

“Syarikat SK Nexilis Co Ltd (SK Nexilis), salah satu pengeluar kerajang tembaga terbesar di dunia membawa pelaburan bernilai RM2.3 billion ke Sabah.

“Ratusan anak-anak Sabah mendapat peluang pekerjaan hasil daripada pelaburan kilang itu yang kini beroperasi di Sabah,” katanya.

Selain itu, pelan itu juga berjaya menarik kilang pembuatan kaca fotovolta solar (PV) yang dikendalikan oleh SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernlai RM3 billion ke Sabah.

“Kilang ini sedang dibina Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) yang bakal mewujudkan 1,400 pekerjaan baharu dengan komitmen sekurang-kurangnya 90 peratus jawatan untuk diisi oleh rakyat Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkarnain meminta Suhaimi bersikap adil dan bertanya kepada Mohd Shafie sepanjang mentadbir Sabah selama 26 bulan.

“Kenapa kadar KDNK Sabah jatuh menjunam kepada 0.5 peratus, kadar pengangguran meningkat dan rezab kewangan negeri berkurangan.

“Suhaimi patut tanya kenapa Shafie gagal membawa masuk pelabur luar ke Sabah dan membeli kilang Sabah Forest Industries sehingga menyebabkan ratusan pekerja telah hilang pekerjaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast